Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Dengan nikmat kesihatan, kita mampu membuat ibadah dengan sempurna. Jangan tunggu sampai kita jatuh sakit baru ingat untuk kembali kepada ALLAH dan baru hendak fokus kepada ibadah. Kerana ketika itu, kita tidak mampu untuk buat ibadah dengan sempurna apatah lagi dalam kuantiti yang banyak.
Dengan nikmat kaya/ ada harta, gunakan ia untuk perbanyakkan sedekah. Moga dengan itu rezeki kita semakin bertambah dek keberkatan yang ALLAH limpahkan kepada harta kita.
Dengan nikmat kelapangan masa pula, gunalah ia sebaik-baiknya. Bukan perbanyakkan tidur dan makan sahaja.
Bagi yang masih muda, yang masih punya tenaga yang banyak dan belum ada keluarga, gunalah ruang yang ada pada masa sekarang untuk membantu ibu ayah sebanyak mungkin. Jangan biarkan mereka sahaja mengendalikan urusan di rumah.
Dengan nikmat nyawa yang masih dikandung badan ini, rebutlah peluang itu dengan perbaiki kekurangan yang ada pada kita baik dari segi akidah, akhlak dan sebagainya. Ini kerana kita tidak mungkin dapat kembali semula ke dunia ini setelah kita dipanggil ke alam barzakh nanti.
Rebutlah peluang tersebut sebelum kita sakit, sebelum kita jatuh miskin, sebelum kita kesuntukan masa, sebelum kita tua tidak berdaya dan sebelum kita dipanggil pulang oleh ALLAH.
Ingatan ini juga buat diri saya yang selalu alpa dan terlalai,moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah Taala.
MDRT Elite Pro Life Planner
Imtiyaz Consultancy Group